Thursday, October 23, 2008

KONSEP BLOG SAYA

Blog Nur Permata merupakan satu blog yang berkonsepkan dakwah iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar dan membudayakan ilmu iaitu belajar, mengajar dan diajar. Nama Nur Permata dipilih kerana nur yang bermaksud cahaya manakala permata iaitu sejenis batu yang menyinari. Begitulah dengan lahirnya blog ini yang diharapkan dapat memberi pendedahan serta sedikit sebanyak dapat membuka mata kita akan peri pentingnya penyampaian dakwah walaupun melalui penulisan. Dalam blog ini juga mengupas pelbagai isu sama ada yang masih baru atau yang sudah lama menjadi topik perbincangan umum meliputi isu akidah, ekonomi Islam, politik, undang-undang, penghayatan Islam, negara Islam, pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak dalam Islam serta isu yang berkaitan dengan penuntut-penuntut di IPT. Isu yang dikupas bukan sahaja tertakluk di dalam negara sahaja malahan meliputi negara lain.

Dalam situasi masyarakat kita pada hari ini yang berada dalam era glogalisasi dan pembangunan, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang dai'e membimbing serta menyedarkan masyarakat supaya mereka tidak tenggelam dengan segala kenikmatan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kehancuran masyarakat itu sendiri.

Di sini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pensyarah Subjek Teknologi Maklumat Dakwah iaitu Dr. Zulkiple Abd. Ghani kerana mengilhamkan serta memberi tunjuk ajar kepada kami untuk menghasilkan blog yang berkonsepkan dakwah ini. Tidak lupe juga penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah memberi idea serta pandangan yang bernas dalam penghasilan blog ini.Saya juga mengharapkan komen yang membina daripada anda serta perkongsian ilmu untuk penambahbaikan bagi blog ini.

Wednesday, October 22, 2008

Kepentingan menguasai ilmu yang bermanfaat

Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain. Ada asas-asas universal yang terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak. Sebagai contoh kunjungan al Biruni ke India, pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, Rasulullah juga telah menganjurkan supaya menuntut ilmu hingga ke negeri China. Begitu juga kaedah menebus diri tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis pada zaman Rasulullah. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah. Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar.


Penaklukan dan penjajahan kini tidak seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada umat Islam. Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak. Mempelajari teknologi atau ilmu alat tidaklah salah. Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat. Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya, mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih luas.


Apa yang patut dilakukan oleh umat Islam ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Perkara ini sangat penting untuk memberikan kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding. Teknologi komputer umpamanya adalah sesuatu yang baik untuk di pelajari. .Ia adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah suatu usaha yang berterusan.

Cara sebegini jugalah yang pernah berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana mereka. Inilah asas-asas integrasi dan Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan ilmu dan tamadunnya sendiri. Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya menyumbang dan memperkayakan.

Bidaah Dan Khurafat:Kesan Negatif Kepada Pembangunan Ummah

Seperti diketahui, sistem ibadat dalam Islam adalah sistem yang lengkap melengkapi dengan sistem Islam yang lain bagi meningkatkan manusia ke tahap khalifah di muka bumi. Ibadat yang betul dan sempurna seperti dikehendaki agama tidak menggalak orang menyisihkan diri dari masyarakat. Pengubah suaian ibadat dan apa yang ditentukan Allah dan Rasul akan membawa kepada perpecahan. Perpecahan pula akan membawa kepada halangan pembangunan ummah. Sistem ibadat yang tepat akan meletakkan umat pada satu kesatuan akidah dan amalan yang sempurna.Ia menimbulkan masyarakat yang bekerjasama, bantu membantu dan terbina akhlak yang mulia.

Khurafat adalah fahaman yang menimbulkan syak wasangka, menurut nafsu dan terlalu beremosi, bertaklid buta, menjadi pak turut, berpegang kepercayaan tanpa bukti yang betul melahirkan masyarakat yang tidak akan membangun. Ia banyak membawa unsur yang meruntuhkan dari yang membangun. Justeru itu unsur-unsur khurafat mestilah dijauhi. Pada asasnya, segala urusan dalam perkara keagamaan ialah mengikut Sunnah, atau disebut dengan al-It-tiba. Sementara perkara yang berkaitan dengan dunia berasaskan rekaan al-Ibtida’. Ayat al-Quran al-Maidah:3 menyatakan: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Sementara hadis Rasulullah s.a.w. pula menyatakan "Anda lebih mengetahui dengan urusan dunia anda”

Bidaah pula seperti yang dikatakan oleh Ibn Taymiyyah lebih disukai oleh Iblis kerana ia bertentangan dengan agama. Pengamalnya tidak bertaubat, malah mereka menyeru pula kepada orang lain kepada amalannya. Menurut Ibn Taymiyyah, bidaah berperingkat-peringkat. Ada bidaah yang boleh di anggap Bidaah mughalladzah iaitu yang boleh membawa pengamalnva menjadi kafir, seperti bidaah yang dilakukan oleh ajaran salah atau ajaran sesat, malah sebahagian mereka lebih bahaya dari Nasrani dan Yahudi lagi. Mungkin ajaran Qadiani boleh dijadikan contoh bidaah kepercayaan yang membawa kekufuran. Ada pula yang tidak sampai kepada kafir tetapi termasuk dalam kategori fasiq. Mereka mungkin terdiri dari mereka yang panjang sembahavang atau puasanya, tetapi akidah mereka yang terjebak dalam bidaah. Fahaman Mu'tazilah pada masa dahulu mendahulukan akal dan wahyu terjebak dalam bidaah yang membawa kepada rosaknya amalan mereka. Bidaah mukhaffafah pula menjadi perselisihan mazhab-mazhab seperti tawassull dengan Nabi Muhammad, tawassul dengan orang-orang Salih yang dianggap bidaah oleh mazhab ahil Hadis (Wahabi). Bidaah ini dilakukan oleh pihak lain dengan mengunjungi kubur keramat dan nazar yang bukan-bukan. Kebanyakan sunnah samada dalam bentuk amalan atau perkataan Rasulullah s.a.w. adalah ditasyri' seperti maksud firman:

"Dan ikutilah Rasulullah mudah-mudahan kamu mendapat pertunjuk".(al-A’raf: l58).

Dalam hal ini sunnah mesti diikuti. Walaubagaimanapun sunnah yang tidak mesti diikuti iaitu yang tidak ditasyri'kan atau apa yang disebut "Anda lebih tahu dengan urusan dunia anda". Jadi tidak timbul soal bidaah atau tidak dalam perkara keduniaan ini, dari segi teknikalnya. Perkara yang mengelirukan masyarakat umum terutamanya, yang berkaitan dengan makan minum, pemakaian, perhiasan, perubatan harus dilihat sebagai bukan bersifat umum tetapi khusus untuk keadaan tertentu atau menyelesaikan keadaan semasa itu. Justeru itu, umat Islam mestilah pandai menilai sesuatu perkara itu supaya dapat mengelakkan daripada berlaku bidaah dan khurafat serta memberi kesan negatif kepada pembangunan ummah.

Tuesday, October 21, 2008

Gejala Sosial dikalangan Penuntut Islam IPT

Isu gejala sosial di kalangan pelajar hari ini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Setiap hari kita mendapat maklumat mengenai isu gejala sosial yang melibatkan para pelajar khususnya pelajar di ipt di dalam media. Dahulunya, isu keruntuhan moral di kalangan pelajar tidak mendapat liputan yang meluas dalam media. Liputan yang meluas ini sepatutnya memberi kesedaran dan menyentak kita bahawa isu keruntuhan moral ini perlu ditangani dengan segera.Isu keruntuhan moral di kalangan pelajar hari ini melibatkan salah laku kecil sehinggalah kepada perbuatan jenayah berat seperti membunuh, rogol, memukul dan bergaduh yang sering berlaku. Sebagai contoh kes yang berlaku di Kedah, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Datuk Syed Omar berumur 39 tahun dibelasah sehingga mengalami kecedaraan parah di muka dan badan kerana menangkap seorang pelajar yang lari daripada majlis perhimpunan. Beliau dibelasah, ditendang dan ditumbuk bertubi- tubi oleh dua orang pelajar tingkatan lima ketika majlis perhimpunan berlangsung.

Bagi pelajar IPT (Institut Pengajian Tinggi) pula, semakin ramai yang terjebak dengan pelbagai gejala sosial seperti khalwat, merempit , melepak dan mengalami keruntuhan akidah. Mereka mudah terjebak dengan perkara-perkara ini kerana terpengaruh dengan faktor persekitaran dan rakan sebaya. Ini dapat dilihat sewaktu sambutan ambang kemerdekaan di KLCC atau Dataran Merdeka. Mereka menyambut kemerdekaan dengan mengadakan pesta yang bercampur lelaki perempuan, berpelukan, menari dan ada yang minum arak sehingga mabuk. Pelajar IPT juga banyak terlibat dengan seks luar nikah sehingga mengandung. Mereka juga sanggup membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa itu untuk menutup perbuatan jahat mereka.Apa yang menyedihkan, kebanyakan daripada mereka adalah anak-anak Melayu yang menuntut di ipt-ipt tempatan. Apa yang menjadi persoalan di sini sejauh manakah mekeka mengamalkan apa yang telah mereka pelajari?


Mereka sepatutnya menjadi harapan dalam pembangunan keluarga dan negara. Banyak pihak terutamanya Badan NGO telah melakukan usaha bagi menyelamatkan mereka tetapi gejala ini semakin merebak dan sukar dibendung. Oleh itu semua pihak haruslah memainkan peranan terutamanya ibu bapa dalam pendidikan terhadap keluarga agak gejala ini dapat diatasi dengan sempurna.

Mendidik Anak Adab Sejak Kecil



Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak terhingga nilainya kepada setiap ibu bapa dalam rumahtangga. Anak-anak adalah pengikat kasih sayang dan mereka memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Dengan itu ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak dengan didikan kekeluargaan khususnya agama. Anak-anak juga perlu didedahkan dengan adab seawal kanak-kanak lagi. Ini bagi membolehkan mereka bersedia untuk berhadapan dengan apa jua situasi yang bakal mereka hadapi kelak. Dalam Islam amat mementingkan didikan agama kepada anak-anak.Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan yang baik, ada beberapa perkara yang harus diamalkan:

1) Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
2) Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
3) Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
4) Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
5) Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
6) Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
7) Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
8) Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
9) Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
10) Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
11) Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
12) Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
13) Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
14) Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
15) Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
16) Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
17) Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
18) Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
19) Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
20) Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
21) Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
22) Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.

Dengan didikan yang diberikan oleh ibubapa yang baik dan sempurna maka diharapkan akan lahirlah anak-anak yang soleh dan solehah serta cemerlang, gemilang dan terbilang.

Monday, October 20, 2008

Peranan Suami Dalam Pembinaan Keluarga Islam Yang Sejahtera



Dalam kehidupan berumahtangga, suami merupakan ketua keluarga. Mereka adalah aset penting dalam pembangunan bagi melahirkan keluarga yang bahagia. Jika baik didikannya maka akan lahirlah keluarga yang baik sebaliknya jika buruk didikannya maka akan lahirlah keluarga yang tidak baik. Salah satu peranan suami ialah menolong isteri dalam menguruskan rumahtangga. Suami yang rajin menolong menguruskan rumahtangga akan dipandang tinggi oleh isteri. Kebanyakan rumahtangga menjadi harmoni dan sejahtera apabila suami isteri saling bekerjasama dan tahu tanggungjawab masing-masing serta menjadikan Rasulullah sebagai role model.


Dalam amalan sistem pendidikan keluarga adalah lebih baik ibubapa mengajar anak lelaki bekerjasama melakukan kerja rumah bersama anak perempuan supaya mereka tidak merasa janggal untuk melakukan kerja dikemudian hari. Sebagai contoh hadis: Dari Aisyah, riwayat Bukhari yang bermaksud: Bahawa Aisyah pernah ditanya: ”Apa yang dibuat nabi di rumah?” Jawab Aisyah: ”Baginda membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah. Apabila datang waktu solat, baginda ke masjid untuk menunaikan solat.” Dalam hadis ini menjelaskan Rasulullah telah membuat kerja rumah sendiri tanpa perlu diminta oleh isteri. Baginda memasak, menjahit dan mengemas rumah. Dengan ini suami perlu memberi sokongan serta dorongan kepada isteri dalam menguruskan rumahtangga. Pujian, penghargan dan memberi hadiah adalah perkara yang boleh menguatkan kasih sayang antara suami isteri. Amalan ini akan menimbulkan ketenangan dalam keluarga dan menjadikan keluarga itu aman dan sejahtera.

Pemimpin Adil Dan Amanah Dalam Politik


Adil bermaksud memberi sesuatu kepada mereka yang berhak manakala amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang diletakkan ke atasnya. Tugas pemimpin hanya perlu diberikan kepada ahlinya sahaja, iaitu yang amanah kerana pemimpin akan berurusan dengan amanah, sama ada sesama manusia atau amanah Allah. Begitu juga apabila perlu membuat keputusan atau memberi pengadilan. Setiap pemimpin harus sedar bahawa Allah sentiasa mendengar dan melihat. Allah tahu apa yang tersirat di sebalik keputusan yang dibuat atau apa yang dikata, walaupun pengikut hanya melihat zahirnya sahaja. Pentadbiran yang baik dalam kepimpinan sama ada melalui institusi perkahwinan, pengurusan, pendidikan dan perniagaan hanya dapat dilaksana jika kita mempunyai pemimpin yang adil dan amanah untuk memacu negara ke arah kemajuan serta mendapat rahmat Allah S.W.T. dalam rumahtangga misalnya, tanggungjawab suami isteri adalah sama berat dan sebab itulah sifat adil dan amanah mesti wujud iaitu suami mencari nafkah dan isteri mengurus rumahtangga.


Sebagai contoh Rasulullah s.a.w merupakan seorang pemerintah yang tidak pernah berat sebelah, sebaliknya memartabatkan nilai adil dan amanah supaya menjadi ikutan sahabat dan membuktikan bahawa akhlak pemimpin dalam Islam adalah mulia serta tidan sama dengan yang lain. Hakikat ini terbukti ketika pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah pertama, di mana baginda menyatakan dasar kemimpinannya dalam khutbah seperti berikut: ”Wahai manusia, sekarang aku memegang pekerjaan kamu ini, tetap aku bukanlah orang yang lebih baik daripada kamu. Jika aku berlaku adil dalam urusanku, sokonglah aku. Tetapi jika aku berlaku salah, betulkanlah aku kembali. Kejujuran adalah satu amanat, kedustaan adalah satu khianat.” Dengan ini setiap pemimpin Islam perlulah sedar hakikat ini serta melaksanakan keadilan serta amanah dalam menjalankan tugas agar lahir sebuah institusi atau yang negara Islam yang aman dan harmoni.

Friday, October 17, 2008


Negara Islam Haramkan Hijab (Tudung)




Kemelut memakai tudung atau hijab bagi Muslimah semakin menjadi-jadi dibangkitkan golongan anti-Islam termasuk di Turki, Tunisia dan Morocco. Apa yang diperlakukan oleh Perancis misalnya yang melarang para pelajarnya memakai tudung di sekolah adalah sesuatu yang bertentangan dengan hak-hak orang Islam melaksanakan tuntutan agama mereka. Hal ini juga berlaku di Singapura yang melarang murid sekolah rendah memakai tudung ke sekolah.

Turki sebagai contoh telah mengharamkan pemakaian hijab bagi wanita di negaranya. Turki adalah Negara Islam yang mengamalkan Sekularisme yang dipelopori oleh Kamal Atartuk yang di anggap ’Bapa Turki Moden’. Hijab telah diharamkan kepada kakitangan kerajaan malah terdapat laporan mengatakan wanita tidak akan diberikan rawatan perubatan kerana memakai hijab. Ramai pelajar tidak dibenarkan meneruskan pengajian dan para siswi universiti kerajaan tidak diberi kelulusan peperiksaan hanya kerana mereka memakai hijab. Sebuah lagi Negara Islam yang mengharamkan pemakaian hijab ialah Tunisia. Undang-undang di sana menyifatkan hijab sebagai ’pakaian persengketaan’. Murid dan siswi dilarang oleh kerajaan untuk masuk ke sekolah dan institusi pendidikan hanya kerana mereka memakai hijab. Semua gerakan ini bertujuan untuk kepentingan Barat supaya umat Islam meninggalkan nilai Islam dan mengamalkan nilai mereka. Lantaran itu, seluruh umat Islam hendaklah tetap bersabar, perkukuh dan menetapkan iman serta secara bijak berusaha menangkis segala serangan dari anti-anti Islam ini.

Thursday, October 16, 2008

Menjaga Keturunan Melalui Perkahwinan

Pernikahan atau perkahwinan menurut Perundangan Islam merujuk kepada akad iaitu kontrak yang dilakukan oleh pasangan lelaki dan perempuan, yang menghalalkan hubungan seksual yang diperlukan oleh naluri setiap manusia, serta mengikat mereka untuk saling membantu dan menunaikan hak masing-masing. Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri ada menyatakan segala urusan nikah kahwin perlu merujuk kepada hukum Syara’. Al-Quran dan sunnah juga menjelaskan asas hukum yang jelas dalam perkahwinan seperti wajib, haram, harus dan makruh. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan manusia dan menjauhi kerosakan. Islam juga menitikberatkan soal perkahwinan kerana ia adalah asas kepada pembinaan sebuah tamadun. Walau bagaimanapun, Barat menganggap perkahwinan adalah satu ikatan yang membebankan. Mereka lebih gemar melakukan hubungan seks tanpa ikatan atas dasar kebebasan asasi individu. Lebih teruk pada hari ini mereka juga cenderung untuk melakukan hubungan sejenis ’homoseksual’.

Apa yang lebih menyedihkan kita pada hari ini ramai dikalangan umat Islam telah terikut-ikut dengan budaya Barat ini khususnya para remaja. Ini dapat dilihat seperti contoh tangkapan yang dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Muar, Johor. Hasil tangkapan yang dibuat menunjukkan lebih 15 pasangan yang ditangkap kerana mengadakan hubungan seks luar nikah terdiri daripada para remaja. Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib mempertahankan kesucian agama dengan melaksanakan sunah Rasulullah iaitu perkahwinan yang sah. Pihak berkenaan juga perlu melaksanakan serta mengetatkan undang-undang Syara’ yang telah ditetapkan agar perkahwinan yang sah menjadi pilihan umat Islam serta lahirnya keturunan yang soleh dan solehah.

Titipan Hikmah



Alihkn matamu ke laut, airnya cantik membiru&penuh ketenangan..tapi hanya ALLAH yang tahu rahsianya..
Bgitulh kehidupan degan kehidupan manusia, riang tawa tapi hanya ALLAH yang tahu rahsia kehidupannya..
Jika rasa kecewa pandanglah ke laut, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalang..
Jika rasa sedih, pandanglah ke langit, kamu akan sedari bahaw ALLAH sentiasa bersamamu...

Bank Islam Teras Ekonomi Ummat

Bank Islam(M) Bhd telah ditubuhkan pada tahun 1983. Kini genaplah 25 tahun bank ini beroperasi. Ia merupakan Perbankan Islam yang ditubuhkan bertujuan untuk memberi umat manusia khususnya umat Islam, satu penyelesaian kepada pengharaman amalan riba’ iaitu amalan yang menjadi asas perbankan konvensional. Sejak penubuhannya juga, umat Islam berharap agar institusi Perbankan Islam terus menjadi teras ekonomi umat Islam. Mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Allahyarham Dato Jaafar Hussein telah membuat satu pengisytiharan pada tahun 1986 bahawa beliau mempunyai satu impian agar Bank Islam dapat menjadi sebuah bank yang dapat duduk sama taraf dengan bank konvensional lain yang sedia ada demi kesejahteraan umat Islam.

Pengasas Bank Islam juga merasakan bahawa institusi perbankan yang mereka tubuhkan ini haruslah mempunyai ciri-ciri daya saing dan kendiri yang tidak mengharapkan kepada mana-mana pihak yang terpaksa menampung kerugian. Dengan berfahaman bahawa sebuah Institusi Perbankan Islam adalah tulang belakang pembangunan ekonomi masyarakat Islam, maka pendekatan yang paling sesuai ialah penubuhan Institusi perbankan yang mematuhi kehendak-kehendak syara’. Daripada kutipan wang dengan deposit dari masyarakat secara ’wakalah’ yang berkonsepkan ’wadiah’ kepada pembiayaan-pembiayaan yang sudah diluluskan Majlis Pengawasan Syariah, yang mengawal selia perjalanan Bank Islam, masih timbul suara-suara yang mengatakan operasi Bank Islam sama dengan bank-bank konvensional. Mengapakah persoalan ini boleh berlaku? Dan benarkah Perbankan Islam sama dengan Perbankan Konvensional yang lain?

Wednesday, October 15, 2008

Keistimewaan Membaca Dan Membudayakan al-Quran

Al-Quran merupakan kitab petunjuk kepada seluruh umat manusia, khasnya bagi orang yang bertaqwa. Ia diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai umat Islam, kitalah yang harus mendalami dan memahami isi kandungannya. Di antara cara yang boleh membantu supaya umat Islam terus menghayati al-Quran adalah dengan menjelaskan fadhilat-fadhilat dan kelebihan al-Quran. Antara keistimewaannya ialah:
1) al-Quran merupakan pemberi syafaat pada hari kiamat
2) Orang yang membaca al-Quran akan bersama para malaikat
3) Mendapat ribuan kebajikan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, akan mendapat satu kebaikan. Setiap kebaikan digandakan menjadi sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Miim itu satu huruf tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Miim itu satu huruf." (HR Imam At-Tirmizi)
Orang yang membaca al-Quran juga akan mendapat keistimewaan antaranya:
1) Di dunia
Mereka sentiasa dengan pembacaan dan meraka adalah manusia terpilih, diangkat darjat oleh Allah s.w.t
2) Peribadinya
Memperoleh ketenangan dengan cahaya Allah s.w.t dan sentiasa mentaati perintah Allah s.w.t serta meninggalkan laranganNya.
3) Rumahnya
Dilihat oleh penduduk langit seperti mana penduduk di bumi melihat bintang-bintang, rumahnya dipenuhi cahaya yang meliputi keluarganya serta malaikat hadir ke rumahnya
4) Di Akhirat
Al-Quran akan menjadi syafaat untuknya, dia bersama para malaikat, diangkat darjatnya ke syurga, peringkat demi peringkat.
Begitulah antara kelebihan al-Quran dan orang yang membacanya. semoga kita tergolong di dalam orang yang mendapat rahmat Allah s.w.t

Monday, October 13, 2008

Assalamualaikum W.B.T

Selamat Datang ke "Laman Ilmu" saya. Saya mengalu-alukan komen daripada anda.

Followers

Blog Archive

FEEDJIT Live Traffic Feed

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP